Sunday 24 July 2016

PERPADUAN DAN PERKAUMAN



PENGENALAN
Tanah air kita, Malaysia, merupakan sebuah negara yang unik dan berbilang kaum, sensitif dari segi hubungan etniknya. Walaupun terdapat negara-negara lain di dunia yang mempunyai komposisi etnik yang berbilang kaum dan bangsa, namun kekayaan dan keunikan Malaysia dari segi itu adalah amat berbeza dan cukup mantap. Hal ini, disebabkan oleh perkembangan ekonomi dan sosiologi masyarakat serta budaya di Malaysia adalah berkait rapat dengan peristiwa bersejarah yang boleh dijejaki sejak 2000 tahun yang lalu. Sejak Zaman Pengaruh Hindu-Buddha sehinggalah ke Zaman Penjajahan British, negara kita sudah banyak berevolusi dan matang dari segi sosiologi dan hubungan etniknya. Dalam negara pelbagai etnik seperti di Malaysia, pemahaman terhadap pelbagai budaya ini amatlah penting bagi menjamin perpaduan dan keharmonian kaum sepanjang masa.

Menyedari hakikat itu, kajian hubungan etnik di negara kita amatlah penting, bukan sahaja untuk memahami cara hidup, kebudayaan dan sejarah sesuatu kaum di negara kita malahan untuk mengekalkan dan mengukuhkan perpaduan kaum itu sendiri. Perkembangan hubungan etnik di negara kita sangatlah dinamik. Apabila kita mengimbas komposisi kaum di negara kita pada zaman pra-merdeka, kita boleh melihat bahawa komposisi utama kaum di negara kita di dominasi oleh tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Selepas pembentukan gagasan Malaysia, kemasukan negeri Sabah dan Sarawak telah mempengaruhi dan mewarnai lagi perkembangan hubungan etnik di negara kita.

Kemajmukan masyarakat ini yang berbilang kaum ini membawa banyak cabaran kepada rakyat Malaysia. 'Rambut sama hitam hati lain-lain' adalah peribahasa yang tepat jika kita membanding satu individu dengan yang lain. Inikan pula apabila kita membanding satu kelompok manusia dengan kelompok lain yang berbeza warna kulit, bahasa dan agama. Peristiwa hitam seperti kejadian 13 Mei 1969 dan rusuhan Kampung Medan mengajar kita tentang satu perkara penting. Perpaduan kaum merupakan satu elemen yang wajib untuk mengekalkan keamanan sesebuah negara. Oleh yang demikian, kerajaan sentiasa meletakkan perpaduan di tempat pertama dan perkembangannya adalah selaras dengan pembangunan negara. 


MAKSUD ISU PERPADUAN DAN PERKAUMAN       

Perpaduan
Perpaduan bermaksud suatu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka. Selain itu, Perpaduan masyarakat merupakan sebahagian yang penting daripada perpaduan negara. Oleh itu adalah mustahak bagi kita meneliti latar belakang dan ciri-ciri masyarakat majmuk di negara kita.

Perkauman
Perkauman pula bermaksud isu-isu yang melibatkan hubungan antara kaum dalam aspek penggunaan bahasa, dimensi agama, tingkah laku sosial, perlakuan fizikal, sektor pekerjaan, perbuatan buli, penulisan dan literatur, rasisme dan seumpamanya. Dalam konteks Malaysia, isu-isu sensitif pula membawa erti isu-isu yang melibatkan perkara-perkara yang sensitif dalam Malaysia berkaitan dengan hak-hak keistimewaan Melayu, status Bumiputera, kontrak sosial, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem kuota dan perkara-perkara stereotype.

Isu-isu ini tidak boleh dibahaskan, didebatkan atau dibincangkan secara terbuka kerana ia akan membawa kepada api permusuhan hasil daripada perasaan kurang senang dan tidak berpuas hati. Isu-isu sensitif ibarat api dalam sekam yang menyala dalam diam-diam hingga boleh membawa kepada kebakaran. Ini juga adalah salah satu sebab yang bakal membawa kepada insiden konflik atau pergaduhan antara kaum. Isu-isu perkauman dan isu-isu sensitif juga melibatkan perlakuan memperlekehkan dan merendah-rendahkan kaum lain serta mempertikaikan hak orang lain. Termasuk juga dalam ruang lingkup tafsiran isu perkauman dan isu sensitif ialah ucapan, perbuatan, perkataan, penerbitan atau sebarang cara yang boleh ditafsirkan sebagai kecenderungan menghasut.  

Isu-isu perkauman dan isu-isu sensitif boleh menggugat perpaduan dan kesepakatan antara kaum, mewujudkan huru-hara dan ancaman ketenteraman awam, mencetuskan konflik dan perselisihan kaum dan konflik antara agama, mewujudkan suasana prejudis, prasangka, dan hubungan tidak baik antara kaum, menghilangkan semangat toleransi, menimbulkan suasana tidak aman serta mengurangkan persefahaman bangsa berbilang kaum. Kesemua elemen-elemen negatif ini akan mengganggu-gugat keharmonian hubungan antara kaum sehingga menjejaskan perpaduan, menghilangkan kesedaran tentang kepentingan hubungan antara kaum, merencatkan keselesaan rakyat pelbagai kaum agar dapat hidup dengan harmoni dan mengusutkan hubungan interaksi antara agama dan budaya.


PUNCA ISU PERPADUAN DAN PERKAUMAN
Dewasa ini, kita dikejutkan dengan pelbagai berita yang kurang enak mengenai perpaduan kaum yang semakin tipis akibat politik dan peselisih kefahaman. Perpaduan ialah kerjasama atau hubungan yang erat dalam pelbagai kaum atau etnik. Kaum pula membawa maksud sesuatu bangsa yang memegang adat, agama dan cara hidup yang berlainan. Suatu masa dahulu, Malaysia pernah diiktiraf sebagai antara Negara yang unik kerana dasar hubngan kaum yang erat.Punca isu perpaduan dan perkauman ialah dari aspek individu dan kerajaan.

1.Aspek Individu
Keretakan perpaduan kaum selalu berpunca daripada individu sendiri. Apabila seseorang terpengaruh dengan kata-kata palsu wartawan yng dahaga akan maklumat sensasi, mereka akan cepat mempercayainya lalu bermulalah adegan bermasam muka dengan individu lain. Dengan alasan individu tersebut menyokong fakta yang salah tanpa mengkaji terlebih dahulu kebenarannya. Akibatnya individu tersebut mula bersikap dingin dengan orang yang mempunyai pendapat yang berlainan. Mereka juga tidak mahu terlibat dalam sebarang aktiviti yang berkait dengan perpaduan seperti gotong-royong, majlis amal, dan mesyuarat balai. Hal ini kerana, mereka bimbang akan pendapat yang bercanggah akan memburukkan lagi keadaan. Selain itu, mereka sengaja tidak mahu mendengar kata-kata individu dengan pendapat mereka yang pelbagai mengenai isu semasa. Mereka khuatir akan berlaku perbalahan hanya kerana hal yang remeh temeh.

2.Aspek Kerajaan
Pihak kerajaan juga merupakan antara penyebab utama kemeruduman perpaduan kaum. Isu politik, isu rakyat dan isu perkauman yang terpapar di kaca televisyen dan dada akhbar sering dikaitkan dengan kegagalan kerajaan membentuk Negara yang penuh perpaduan. Kesannya, kawalan keselamatan Negara dipandang rendah dan semakin longgar. Tambahan pula, Negara akan menjadi huru hara dengan perhimpunan haram dan perbalahan akibat daripada perpaduan yang semakin pudar.

Masihkah kita ingat pada tarikh 13 Mei 1969? Ia merupakan tarikh berdarah buat tragedi rusuhan perkauman yang menyedihkan ramai pihak. Selepas 47 tahun ia berlaku, terdapat tanda-tanda yang ia akan berlaku sekali lagi. Tragedi ini bukan sahaja menyebabkan hilangnya perpaduan kaum tetapi juga kehilangan nyawa orang tersayang. Sebagai generasi Wawasan 2020, marilah kita berikrar dengan Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran perlembagaan dan kesopanan serta kesusilaan. Marilah kita berpegang pada pepatah lama “Bersatu kita teguh, Bercerai kita Roboh ”. 

   
AKIBAT ISU PERPADUAN DAN PERKAUMAN

Ekonomi menjadi mundur
Akibat yang amat nyata apabila berlaku perbalahan dalam kalangan masyarakat sudah pasti menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara. Ekonomi ialah tiang seri dan pasak kekuatan kepada sesebuah negara. Tanpa sokongan ekonomi yang mapan, kemajuan negara akan terbantut. Apabila kita menoleh kepada negara-negara yang aman, seperti Jepun, Norway,  dan Hong kong, justeru potensi ekonomi mereka berjaya dibangunkan sehingga menjadi kuasa ekonomi yang tersohor. Sesungguhnya, Malaysia juga tidak terkecuali sekiranya acuan perpaduan berjaya direalisasikan dalam kalangan  rakyat pelbagai kaum nescaya potensi ekonomi negara bertuah ini dapat dimanfaatkan.

Kita hendaklah menjadi rakyat yang berfikiran rasional dan dingin dalam menghadapi sesuatu masalah. Kita perlu bersatu di bawah panji-panji negara yang berdaulat dan merdeka. Sesungguhnya, kita wajar menilai semula akan harga kemerdekaan dan kebebasan yang kita kecapi kini adalah terlalu mahal. Demi negara, kita hendaklah menyanjung tinggi kedaulatan watan dengan menghayati sedalam-dalamnya wadah. Kita khuatir akan kesudahannya, kalah jadi abu menang jadi arang apabila berbalah sesama kita.


ISU DAN CABARAN PERPADUAN DAN PERKAUMAN
Antara isu dan cabaran yang kami akan kongsikan adalah mengenai isu perpaduan dan perkauman yang berkisahkan Peristiwa 13 Mei 1969 dan Perkauman dalam Politik dan Pendidikan.



1. Peristiwa 13 Mei 1969
Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 ialah rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan "Pilihan Raya Umum 1969" merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.

Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik dari kalangan parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal Bangsa Malaysia berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai bumiputera dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah memberi kesempatan kepada ahli-ahli politik yang ingin mendapatkan faedah daripadanya dalam pilihanraya.

Pada pilihanraya umum 1969, Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA, dan MIC gagal memperolehi majoriti 2/3 di parlimen walaupun masih berjaya membentuk kerajaan persekutuan. Hal ini disifatkan oleh parti pembangkang sebagai satu kemenangan yang besar buat mereka. Jumlah kerusi yang dimenangi Parti Perikatan dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi. Pihak pembangkang yang memperoleh pencapaian gemilang dalam pilihanraya telah meraikan kemenangan mereka dengan berarak pada 11 Mei 1969. Perarakan tersebut sebenarnya tidak bermotif untuk menimbulkan isu perkauman. Namun, terdapat segelintir pengikut perarakan (identiti mereka tidak dapat dikenal pasti) telah mengeluarkan slogan-slogan bersifat sensitif berkenaan isu perkauman semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Perarakan turut dijalankan pada 12 Mei 1969 di mana kaum Cina berarak menerusi kawasan Melayu, melontar penghinaan sehingga mendorong kepada kejadian tersebut.Pihak pembangkang yang sebahagian besar darinya kaum Cina dari Parti Tindakan Demokratik dan Gerakan yang menang, mendapatkan permit polis bagi perarakan kemenangan melalui jalan yang ditetapkan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun perarakan melencong dari laluan yang ditetapkan dan melalui kawasan Melayu Kampung Baru, menyorak penduduk di situ. Sesetengah penunjuk perasaan membawa penyapu, kemudiannya dikatakan sebagai simbol menyapu keluar orang Melayu dari Kuala Lumpur, sementara yang lain meneriak slogan mengenai tengelamnya kapal Perikatan.

2. Perkauman Dalam Politik
Politik perkauman bermaksud politik yang berunsurkan memperjuangkan sesuatu etnik atau kepentingan sesuatu kaum sahaja. Politik perkauman adalah bersifat racist kerana parti politik yang memperjuangkan idelogi ini terlalu melebihkan sesuatu kaum daripada kaum lain. Perkongsian kuasa hanyalah sekadar nama dan jenama yang sudah lama tidak dipraktikkan. Realiti politik di Malaysia pula sememangnya amat sukar untuk elak daripada isu dan politik perkauman. Di Malaysia amnya parti yang telah lama mendominasi kerajaan iaitu Barisan Nasional semakin hilang populariti bukan kerana ideologi mereka tidak dapat diterima oleh masyarakat tetapi hakikatnya idelogi mereka telah dirosakkan oleh mereka sendiri. Ideologi dan prinsip asal politik perkauman adalah perkongsian kuasa yang adil dan seimbang. Namun begitu, apabila masyarakat sendiri melihat perkongsian ini sudah tidak lagi seperti idea penubuhan asas apabila hanya kaum tertentu yang jauh lebih daripada kaum-kaum lain dalam gabungan ini maka idelogi asas mereka sudah dicacatkan.

Keadaan ini menyebabkan masyarakat zaman moden melihat politik perkauman adalah satu politik tanpa ideologi. Mereka adalah generasi baharu yang melihat situasi terkini dan tidak mampu untuk merasai idea penubuhan asas yang dicetuskan sejak zaman nenek moyang mereka. Hakikat ini tidak sahaja berlaku kepada parti Barisan Nasional,malahan turut berlaku kepada parti-parti yang ada di Malaysia. Sebagai contoh, Parti tindakan demokratik (DAP) walaupun perjuangan parti ini tidak berasaskan kaum,namun parti ini didominasi oleh kaum cina dan masih memperjuangkan hak orang cina. Ini jelas menunjukkan bahawa parti ini masih mengutamakan kepentingan sesuatu kaum.
3. Perkauman dalam Pendidikan
Pendidikan adalah merupakan salah satu elemen penting dalam pembentukan sebuah negara bangsa. Bentuk pendidikan yang lahir akan menentukan sama ada agenda nasional dapat dicapai atau tidak. Jika sistem pendidikan berbentuk perkauman, maka perkaumanlah penyudahnya.

Setakat ini, hanya Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai pendidikan pelbagai mengikut kaum atau vernakular. Inilah yang selalu dicanangkan oleh golongan tertentu sebagai salah satu kekuatan Malaysia. Kita boleh lihat apabila kerajaan menyuarakan untuk menyeragamkan sistem pendidikan berasaskan konsep 1Malaysia, tanpa menafikan hak-hak kaum lain mendapat pendidikan ibunda mereka, serta-merta golongan ini akan membuat laporan polis dan menuduh kerajaan yang bukan-bukan.

Ini adalah tolak ansur yang mesti dihargai. Orang Melayu dan bumiputera tidak ada sekolah mereka sendiri, yang ada ialah sekolah kebangsaan untuk semua. Sistem inilah yang dipraktikkan di seantero dunia. Jika adapun sistem pendidikan perkauman, ia telah lama dihapuskan. Semua bentuk pendidikan diseragamkan demi mencapai matlamat nasional. Contohnya, Thailand, Indonesia dan negara-negara maju yang lain.

Kita perlu berfikir jauh ke hadapan walaupun pahit untuk diterima. Setelah 52 tahun merdeka, sistem pendidikan kita masih belum merdeka dan terbelenggu. Setiap kaum masih leka dalam kepompong sistem pendidikan masing-masing. Orang Melayu masih percaya kepada sistem pendidikan kebangsaan untuk semua, tetapi tetap dengan sistem perkauman, India dengan cara India dan Cina dengan cara Cina. Kehidupan kita sebenarnya semakin jauh dan terasing.

Akibatnya, lahirlah golongan yang meletakkan kepentingan kaum di hadapan berbanding kepentingan nasional. Bahasa kaum sendiri lebih didaulatkan berbanding bahasa kebangsaan. Kita boleh mengambil contoh kedudukan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan. Bahasa Melayu hanya diajar tiga kali seminggu berbanding dengan bahasa Cina yang diajar setiap hari. Ini tidak termasuk matapelajaran lain seperti Matematik, Sains, Kemahiran Hidup, Pendidikan Moral, Sivik dan Kajian Tempatan yang turut diajar dalam bahasa yang sama.


CARA PENYELESAIAN ISU PERPADUAN DAN PERKAUMAN

1    1.  Konsep 1 Malaysia
Diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib pada 3 April 2009. Konsep 1 Malaysia ini memberi aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Konsep ini juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan Perdana Menteri iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, sikap penerimaan antara kaum membawa kepada perpaduan yang utuh perlu diamalkan. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

2   2.    Pendidikan
Persefahaman kaum juga dapat dipupuk secara berkesan menerusi pendidikan. Antara langkah yang dilakukan ialah dengan penubuhan sekolah wawasan. Sekolah wawasan merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan proses integrasi antara kaum. Sekolah wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah. Mereka berpeluang untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap budaya dan agama kaum lain. Tegasnya, sekolah wawasan mampu memupuk persefahaman kaum dan seterusnya mempercepat integrasi nasional.

     3.  Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
Mampu mewujudkan keharmonian rakyat serta negara. PLKN dapat memupuk perpaduan nasional. Melaluinya, remaja pelbagai kaum akan ditempatkan bersama di bawah satu bumbung. Mereka akan bekerjasama untuk menjalankan aktiviti bersama-sama, berinteraksi dan bergaul mesra. Dengan itu, mereka akan terdedah kepada corak hidup masyarakat majmuk Malaysia secara mendalam. Persefahaman yang lebih erat akan memupuk perasaan kekitaan. Selain daripada kerajaan yang bertanggungjawab mengekalkan keharmonian negara, masyarakat sendiri perlu turut memikul peranan penting dalam menjamin keharmonian negara berkekalan.


PENUTUP DAN KESIMPULAN ISU PERPADUAN DAN PERKAUMAN
Sebagai penutup, topik yang dibincangkan iaitu “isu perpaduan dan perkauman kaum”, kita dapat lihat dimana banyak masalah akan timbul ekoran tidak wujudnya persepakatan padu di antara kaum. Sejak Negara kita mencapai kemerdekaan sejak 59 tahun lalu, banyak cabaran dan dugaan yang telah dilalui oleh negara dan yang paling utama diantaranya adalah mewujudkan perpaduan dikalangan kaum yang pelbagai ini. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 dan peristiwa penjajah inggeris yang membuat dasar pecah dan perintah haruslah diambil sebagai pengajaran dalam mewujudkan persepakatan diantara kaum. Semua masyarakat haruslah berganding bahu dalam membantu mewujudkan Negara yang harmoni. “Malaysia truly Asia”.

Hubungan etnik yang mantap sangat perlu dalam kalangan rakyat sesebuah negara yang mempunyai kepelbagaian dari segi agama, bahasa, budaya dan etnik. Persoalan hubungan etnik, perpaduan dan integrasi amat penting bagi mewujudkan kestabilan politik dan seterusnya pembangunan negara berjalan rancak tanpa sebarang gangguan. Perpaduan dan Integrasi penting supaya tenaga negara dapat disalurkan kepada memajukan negara daripada digunakan untuk menyelelsaikan masalah yang wujud daripada kepelbagaian etnik.

Hubungan etnik juga merupakan perkara yang sangat penting bagi masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk. Hubungan etnik ini akan melahirkan masyarakat Malaysia yang harmonis, saling bekerjasama dan bersefahaman dan sentiasa menghayati perjanjian sosial yang telah dipersetujui sejak awal kemerdekaan lagi.

Usaha-usaha perlu diambil secara berterusan bagi memastikan hubungn etnik di Malaysia sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Usaha-usaha ini adalah melibatkan peranan kerajaan, masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan. Apa yang penting dalam memastikan hubungan etnik sentiasa dalam keadaan baik, segala usaha ini perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat.

Kepelbagaian budaya dalam negara Malaysia seharusnya tidak menimbulkan masalah perkauman. Setiap kaum ataupun etnik perlu tahu dan memainkn peranan mereka dalam memastikan konflik perkauman seperti peristiwa 13 Mei berulang semula. Perpaduan kaum ini amatlah penting bagi menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Dalam usaha mencari penyelesaian isu ini, ambillah peribahasa Melayu yang menjelaskan, sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Salah faham dan pertikaian yang berpanjangan dalam kalangan kaum hanya mendedahi kita kepada kemusnahan. Keamanan yang telah terbina sejak sekian lama akan terkubur begitu sahaja. Oleh itu, amalkan sikap saling bersatu, ibarat ke gunung sama di daki, ke lurah sama dituruni, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. InsyaAllah, sekiranya falsafah daripada peribahasa tersebut dipegang dengan kukuh, nescaya akan lahirlah suatu bangsa Malaysia yang kuat kerana berpegang kepada tonggak perpaduan, bertolak ansur, sejahtera, dan harmoni.

Sehubungan dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Oleh itu, segala kerjasama semua pihak seperti kerajaan, masyarakat dan pertubuhan badan bukan kerajaan amatlah diperlukan untuk meningkatkan hubungan etnik di nagara Malaysia.


No comments:

Post a Comment